#DudukDiRumah #StayAtHome

Seperti yang kita sedia maklum,  kita dikejutkan dengan penularan wabak penyakit Coronavirus (COVID-19) yang bermula di wilayah Wuhan, China dan kini telah tersebar ke 30 buah negara di dunia termasuk Negara kita Malaysia.  Ketika teks ini ditulis, seramai 3,071,492 kes yang telah dicatatkan di seluruh dunia dengan 212,058 kematian.  Negara kita telah mencatatkan seramai 5820 kes yang telah didapati positif dan telah mendapat rawatan di hospital kerajaan. 99 kes kematian telah dilaporkan di Malaysia.    

COVID-19 adalah spesis baru daripada keluarga Coronavirus  yang boleh menyebabkan jangkitan saluran pernafasan. Antara keluarga Coronavirus lain yang pernah jangkita salur pernafasan yang teruk adalah Severe Acute Respiratory Syndrome Coronavirus (SARS) pada tahun 2002 dan Middle East Respiratory Syndrome-Related Coronavirus (MER-CoV) pada tahun 2012.

Jangkitan coronavirus boleh menyebabkan spektrum gejala daripada selesema biasa kepada radang paru-paru (pneumonia) yang teruk. Sehingga kini tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan COVID-19. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.  Biasanya gejala bagi penyakit ini adalah demam, batuk dan sukar bernafas.  COVID-19 ini berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk dan seterusnya boleh menyebabkan kematian, terutamanya dalam kalangan orang tua dan orang yang mempunyai masalah kesihatan atau sistem imun yang rendah.
Justeru itu, sebagai langkah pencegahan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  menyarankan agar kita mengambil langkah-langkah berikut :

Pertama:   Sentiasa mengamalkan kebersihan diri yang baik

Kedua:      Amalkan kerap basuh tangan dengan sabun dan air atau sanitizer

Ketiga:      Sentiasa menutup mulut dan hidung menggunakan tisu ketika batuk dan bersin dan buang tisu yang tercemar dalam tong sampah.

Keempat:  Tangguhkan lawatan ke Negara-negara yang dijangkiti wabak

Kepada individu yang bergejala perlulah:-

Pertama:   Tutup mulut dan hidung menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. dan buang tisu dalam tong sampah.

Kedua:      Elakkan mengunjungi tempat tumpuan ramai. Jarakkan diri anda sekurang-kurangnya 1 meter dari orang yang sihat

Ketiga:      Guna penutup mulut dan hidung (mask)

Keempat:  Kerap basuh tangan dengan sabun dan air atau sanitizer.

Kelima:     Elakkan bersalaman atau bersentuhan jika bergejala (demam, batuk/bersin dan sesak nafas). Letakkan tanda tangan di dada sebagai tanda hormat dengan ucapan salam bagi menggantikan bersalaman atau bersentuhan.

Keenam:   Dapatkan rawatan awal apabila mempunyai gejala demam, batuk dan sukar bernafas. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini dan akan memaklumkan perkembangan terkini situasi jangkitan COVID-19 dari semasa ke semasa.  Orang ramai diminta mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa terutamanya KKM dan tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu bagi mengelakkan keresahan dan kerisauan masyarakat.

Bahagian Pendidikan Kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia