Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Adha

Hari Raya Korban. Hari Raya Aidiladha atau Raya Korban mempunyai makna yang cukup besar buat seluruh umat Islam di dunia ini.

Di samping itu, perayaan ini turut dikenali sebagai  Hari Raya Haji, sempena umat Islam yang sedang menunaikan ibadah haji di tanah suci Mekah.Hari Raya Korban adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah SWT.

Hari Raya Korban juga bertujuan untuk mengikis kelekaan umat Islam terhadap keduniaan. Ia juga menilai di antara ketaksuban mencintai harta duniawi atau kesanggupan mengeluarkan sebahagiannya bagi mendapatkan keredaan Allah SWT. Salah satu keistimewaan Hari Raya Korban ialah ibadat korban.

Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari bermula selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke 13 Zulhijjah. Daripada segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala daripada segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Sejarah Hari Raya Korban

Hari yang mulia ini juga mengingatkan kita kepada sejarah Nabi Ibrahim menyembelih anaknya Nabi Ismail selepas menerima wahyu daripada Allah supaya berbuat demikian. Pada suatu hari Nabi Ibrahim bermimpi, dalam mimpinya itu Allah menyuruh Nabi Ibrahim menyembelih anaknya yang bernama Ismail. Selepas mendapat mimpi itu, Nabi Ibrahim pun memberitahu isterinya yang bernama Siti Hajar. Maka berbincanglah Nabi Ibrahim, Siti Hajar dan Ismail.

Siti Hajar berkata, “Mungkin mimpimu itu hanya mainan tidur saja tetapi kalau mimpi itu merupakan wahyu, wajiblah dituruti.”

Apabila mendengar kata-kata ibunya, Ismail berkata kepada bapanya, “Ayahku, sekiranya ini merupakan wahyu dari Allah SWT, aku sedia merelakan diriku untuk disembelih”.

Setelah persetujuan dicapai, keesokan harinya Nabi Ibrahim pun membawa puteranya Ismail untuk disembelih. Perkara Nabi Ibrahim hendak menyembelih anaknya telah sampai kepada pengetahuan orang ramai. Hal ini membuat orang ramai takut sehingga ada yang mengatakan Nabi Ibrahim mungkin sudah tidak waras hinggakan mahu menyembelih anaknya sendiri. Walau apa pun tuduhan orang terhadapnya, namun Nabi Ibrahim tetap menjalankan tugas yang diperintahkan oleh Allah SWT terhadapnya.

Setelah Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail sampai pada tempat yang dituju, berkatalah anaknya, “Wahai ayahku, aku fikir cara yang baik untuk menyembelih adalah dengan cara aku disembelih dalam keadaan menelungkup tapi mata ayah hendaklah ditutup. Kemudian ayah hendaklah tahu arah pedang yang tajam dan ayah kenakan tepat kepada leherku.”

Kemudian Nabi Ibrahim pun melaksanakan perintah yang Allah SWT perintahkan dalam mimpinya. Baginda pun mengucapkan kalimah atas nama Allah lalu memancungkan pedangnya pada leher anaknya itu. Maka terperciklah darah mengenai badan Nabi Ibrahim. Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Ibrahim pun menggeletar dan membuka penutup matanya.

Tetapi alangkah terperanjatnya apabila melihat yang disembelihnya itu bukanlah anaknya melainkan seekor kibas. Dengan memuji kebesaran Allah SWT kedua-duanya pun berpeluk-peluk sambil bersyukur kepada Tuhan kerana memberi kekuatan sehingga dapat melaksanakan amanat daripada Allah SWT.

Jenis haiwan yang sah untuk dijadikan haiwan untuk ibadah korban adalah:

1. Kibas, biri-biri atau domba
2. Kambing
3. Lembu, kerbau
4. Unta

Haiwan-haiwan tersebut haruslah jinak, yang terdiri daripada haiwan ternak atau peliharaan. Haiwan liar seperti kambing hutan atau seladang yang hidup di dalam rimba, tidak sah dijadikan korban.
Umur minima bagi haiwan yang boleh dijadikan korban ialah:

1. Kambing, kibas, biri-biri atau domba, lebih satu tahun.
2. Lembu, lebih dua tahun.
3. Unta lebih lima tahun.

Menjelang Hari Raya Korban

Apabila tiba 10 hari bulan Zulhijah yang lebih dikenali dengan Hari Raya Korban, maka kita hendaklah menggandakan usaha untuk melakukan ketaatan kerana sesungguhnya ia adalah hari yang paling afdal di sisi Allah SWT dan dijadikan kehormatan pada sebelah siangnya.

Sebelum 10 Zulhijjah

  • Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah.
  • Memperbanyakkan amalan sunat pada malam hari raya Aidiladha.
  • Bersederhana dalam persiapan menyambut raya bagi mengelakkan pembaziran.

Pagi 10 Zulhijjah

  • Mandi sunat Aidiladha pada pagi harinya.
  • Memakai pakaian baru dan bersih sebagai tanda syukur kepada Allah.
  • Memakai haruman dan wangian yang menyenangkan.
  • Memohon keampunan dan bermaaf-maafan sesama ahli keluarga.
  • Sunat menjamah makan-minum selepas selesai solat Aidiladha.
  • Menggunakan jalan berbeza sewaktu pergi dan pulang dari masjid.
  • Lebih afdal dengan berjalan kaki jika masjid tidak terlalu jauh.
  • Bertakbir, tahmid dan tahlil bermula dari malam 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad).
  • Bersolat sunat hari raya dan mendengar khutbah penuh penghayatan.
  • Ziarah menziarahi kaum keluarga, jiran tetangga, dan sahabat handai.
  • Bersedekah kepada mereka yang memerlukan.
  • Elakkan sambutan hari raya daripada perkara yang ditegah syarak..

Penghayatan Hari Raya Korban

Ibadat haji itu sendiri merupakan suatu pengorbanan apabila seseorang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menunaikannya. Pengorbanan di antara sesama manusia contohnya, apabila seorang suami berpenat lelah mencari rezeki dan mendidik keluarganya serta pengorbanan seorang isteri terhadap suami dan anak-anak.

Seorang ibu yang tidak tidur semalaman kerana menjaga anaknya yang sakit juga merupakan satu bentuk pengorbanan. Tidak terkecuali pengorbanan ibu yang terpaksa bangun di tengah malam membancuh susu untuk anaknya. Walaupun nampak kecil, ia sebenarnya bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan jika tidak sanggup berkorban serta mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Manakala dalam aspek kemasyarakatan pula, penghayatannya adalah kepada individu yang sanggup berkorban untuk mewujudkan suasana yang bahagia, aman dan tenang di dalam sesebuah masyarakat. Sikap tolong menolong, saling bantu membantu akan mengeratkan lagi hubungan silaturrahim di antara satu sama lain.

Sikap bekerjasama dan mengambil berat ini akan dapat mengikis perasaan mementingkan diri sendiri. Seterusnya ia bakal menjadikan umat Islam kuat serta mampu menangkis sebarang anasir yang tidak sihat daripada mempengaruhi masyarakat.

 

 

kredit : http://www.wom.my/gaya-hidup/pengertian-hari-raya-korban/#ixzz5OU2pYfNY