Definisi Sekolah Kluster

DEFINISI SEKOLAH KLUSTER

Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.

TUJUAN

Sekolah Kluster diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia.

PELAKSANAAN

Terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah:-

  1. Jawatankuasa Pemilihan Sekolah dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia;
  2. Panel Penasihat dipengerusikan oleh Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad;
  3. Jawatankuasa Pelaksana dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Pelaksanaan sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumi, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.

KRITERIA PEMILIHAN SEKOLAH KLUSTER

Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:

  1. Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
  2. Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
  3. Sekolah Pendidikan Khas, iaitu Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
  4. Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta.
  5. Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG).

PRASYARAT

Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM).

Bagi Sekolah Menengah, Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 3 tahun berturut-turut:

  1. SBP: GPS 2.50 dan ke bawah
  2. SMKA: GPS 3.00 dan ke bawah
  3. SMT: GPS 4.00 dan ke bawah
  4. SM Harian: GPS 4.00 dan ke bawah

Bagi sekolah Rendah,

  1. 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR);
  2. Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan, atau
  3. GPS UPSR ialah 2.00 dan ke bawah dalam tempoh 3 tahun kebelakangan, berturut-turut.

SYARAT PEMILIHAN

  1. Kecemerlangan murid dalam aspek akademik, kokurikulum dan sahsiah.
  2. Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
  3. Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
  4. Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
  5. Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
  6. Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
  7. Keberkesanan pelaksanaan program Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
  8. Sekolah berperwatakan.

AUTONOMI SEKOLAH

Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah ialah:

  1. Bentuk Umum, untuk semua sekolah; dan
  2. Bentuk Khusus, mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan bidang kebitaraannya.

Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada pematuhan piawai yang berikut:

  1. Akta Pendidikan 1996;
  2. Sistem Pendidikan Kebangsaan;
  3. Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan, Garis Panduan dan Surat-surat Siaran; serta
  4. SKPM.

Senarai Bidang Autonomi:

  1. Pengurusan Sekolah
  2. Pengurusan Sumber Manusia
  3. Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
  4. Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
  5. Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum

JAMINAN KUALITI

Bagi memastikan sekolah kluster sentiasa mempertingkatkan standard kualiti, jaminan kualiti di sekolah kluster akan menggunakan mekanisme kawalan luaran dan kawalan dalaman.

IMPAK SEKOLAH KLUSTER

Sekolah kluster akan memberi impak yang positif kepada pendidikan negara dari segi :

  1. Program Kecemerlangan Kokurikulum
  2. Program Kerjaya
  3. Pelajar sekolah cemerlang secara keseluruhan (holistic) dalam sistem : 5.8% daripada 5.2 juta pelajar
  4. Lepasan sekolah kluster diterima masuk universiti ternama luar negara
  5. Badan korporat dan agensi kerajaan berkeyakinan menaja pengajian lepasan sekolah kluster
  6. Menyediakan asas kukuh melahirkan peneraju utama agen perubahan
  7. Sebanyak 300 buah sekolah diiktiraf antarabangsa (3.1% daripada 9663 sekolah)
  8. Model piawaian kepada sekolah dalam dan luar negara
  9. Pemimpin berkualiti (3.1% daripada 9663 sekolah) dan guru yang cemerlang (6.9% daripada 350,000 guru)
  10. Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan di Malaysia.

SUMBER : KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA