Program STEM & Lestari Alamku

Program STEM

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Science, Technology, Engineering and Mathematics Education [STEM]) merupakan pendekatan pembelajaran kesemua subjek yang tersebut secara kolektif melalui pengabungjalinan serta mementingkan aspek amali (U.S. Dept. of Education, n.d., Hom, 2014).

Sistem Pendidikan Amerika Syarikat memperkenalkan pendidikan STEM bertujuan menanam kemahiran pemikiran komputasional dalam kalangan murid agar mereka dapat menggunakan pendekatan saintifik untuk menyelesaikan masalah autentik. Ia dilaksanakan dengan tujuan mendidik generasi muda supaya dapat menceburkan diri dalam bidang inovasi dan membentuk kemahiran dalam kerja yang berorientasikan kemahiran STEM. Menyedari prestasi PISA Amerika syarikat jatuh pada percentil di tengah, jauh lebih rendah daripada negara Asia seperti Singapura, Hong Kong, Korea dan lain-lain lagi, Kementerian Pendidikan Amerika Syarikat telah merancang dan melaksanakan pelan lima tahun bagi mengiatkan lagi pendidikan STEM ini (U.S. National Science and Technology Council, 2013).

Matlamat perancangan lima tahun ini adalah meningkatkan kualiti pendidikan STEM, melibatkan generasi muda dan masyarakat secara berterusan, memperbaiki pendidikan STEM pada peringkat tertiari dan program pengajian pasca sarjana yang berkemampuan menghasilkan tenaga manusia untuk bidang STEM pada masa yang akan datang.

Sistem Pendidikan K-12 menyediakan persekitaran pembelajaran kolaboratif yang membolehkan pelajarnya mengintegrasikan konsep dan kemahiran STEM dalam konteks dunia sebenarbagi mengasah kemahiran pemikiran kritis dan analitik. Usaha ini adalah ke arah membina dan mengukuhkan kemahiran STEM untuk pengajian, kerja dan amalan seharian (California Department of Education, 2016).

Pengenalan STEM pada peringkat sekolah rendah fokus kepada pengenalan kepada kursus STEM, kesedaran tentang bidang-bidang yang berkaitan dan peluang kerjayanya (Hom, 2014). Coz (n.d.) pula telah menggambarkan pendekatan pengajaran STEM melalui pendekatan Ikuiri mengikuti prosedur yang berikut:

  • Mengenalpasti masalah authentik dalam konteks kehidupan sebenar (mungkin pada peringkat tempatan ataupun global)
  • Bertanya soalan-soalan untuk eksplorasi lanjut yang mungkin mencetuskan idea bagi menangani masalah tersebut
  • Membentuk strategi dan prosedur penyelesaian masalah
  • Melaksanakan sesi amali bagi menguji kebolehgunaan strategi dan kaedah yang dirancang.

Pendidikan STEM pada peringkat sekondari dan tertiari pula bertujuan menyediakan bakal tenaga kerja dalam kerjaya yang melibatkan kemahiran STEM.

Selain daripada mendalami penguasaan sains dan matemarik dalam aplikasi konteks dunia sebenar, aktiviti seperti coding dan robotics merupakan platform yang dapat membangkitkan minat dan memfokuskan usaha pelajar pelbagai peringkat umur supaya mengaplikasikan kemahiran STEM untuk menyelesaikan sesuatu masalah.

Daripada perspektikf Malaysia, “Pendidikan STEM adalah pendidikan yang berasaskan kepada konsep mendidik murid dalam empat bidang; Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik dengan mengintegrasikan dan mengaplikasikannya dalam konteks dunia sebenar. Pendidikan STEM boleh menarik minat murid melalui aktiviti yang mencabar, menyeronokkan dan bermakna.” (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2016:1)

Program Lestari Alamku

Program Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar adalah program kerjasama di antara Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Pendidikan Malaysia serta Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang telah dilancarkan pada 27 Januari 2005.

Terdapat empat (4) komponen utama yang ditekankan dalam program ini iaitu pengurusan, penghijauan, kokurikulum dan kurikulum. Secara dasarnya program ini merupakan payung kepada semua aktiviti-aktiviti berasaskan alam sekitar di sekolah seperti Projek Riadah Alam Sekitar (PRIAS), Projek Wira Alam, Program Eco -Youth, Program RE & EE (Renewable Energy & Energy Efficiency), Program Keceriaan Taman, Program 3K (Keselamatan, Kebersihan dan Keindahan), Program KitS (Kitar Semula), Kem Kesedaran Alam Sekitar dan aktiviti-aktiviti alam sekitar yang lain.

Program ini bertujuan untuk membantu sekolah memperkukuhkan program-program pendidikan alam sekitar yang sedia ada. Program ini juga berkonsepkan pendekatan menyeluruh yang melibatkan semua lapisan warga sekolah bersama keluarga, komuniti setempat, kerajaan, pihak swasta dan badan bukan kerajaan.

Objektif Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar

Sekolah Lestari dibentuk bagi mencapai objektif berikut:-

  1. Memupuk nilai murni alam sekitar pada kalangan warga sekolah
  2. Meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar
  3. Menggalakkan warga sekolah melaksanakan aktiviti mesra alam dengan berkesan
  4. Meningkatkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar; dan
  5. Mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.

Definisi Sekolah Lestari- Anugerah Alam Sekitar

Sekolah Lestari membudayakan pendidikan alam sekitar dengan menerapkan nilai murni alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan secara berterusan bagi mewujudkan amalan hidup yang selaras dengan konsep pembangunan lestari.

Kedua-dua program ini akan dianjurkan dari bulan Jun hingga Oktober 2019. Jom sama-sama kita menjayakan program ini.