Sejarah Penubuhan Sekolah
Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Putra telah dibuka pada 1 Januari 2004 yang terletak di alamat PTD, Jalan Nuri 9, Bandar Putra 81000 Kulai. Sekolah ini mendapat namanya sempena nama taman perumahan di kawasan sekolah ini dibina. Bagi memastikan kelengkapan sekolah diuruskan dengan baik, pihak Pejabat Pendidikan Daerah Kulai telah melantik Encik Safari bin Basir sebagai penyelaras. Pertemuan pertama untuk membuka sekolah ini telah diadakan pada 5 November 2003, tanpa pengetua. Kerja-kerja awal seperti menentukan arah tuju sekolah telah diuruskan oleh Encik Anuar bin Jais dengan dibantu oleh Encik Safari bin Basir dan Puan Hajah Norsiah binti Osman.
Sekolah ini merupakan sekolah kawalan yang cuba dibangunkan dengan tujuan meningkatkan pencapaian akademik daerah Kulai. Idea ini telah dicetuskan oleh Pegawai Pendidikan, Tuan Haji Markom bin Giran. Pada peringkat permulaan, sekolah ini telah menerima seramai 450 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Tingkatan 1, 2 dan juga 4. Konsep terkawal menyebabkan sekolah ini hanya menerima pelajar terbaik yang akan dimasukkan ke dalam Rancangan Khas Agama, Rancangan Khas, Program Khas dan juga pelajar aliran Sains Tingkatan 4. Tarikh 5 Januari 2004 merupakan tarikh keramat sekolah kerana pada hari inilah sekolah menerima pelajar yang pertama. Tugas merealisasikan visi sekolah telah diketuai oleh Pengetua pertama iaitu Encik Abdul Aziz bin Haji Redwan dan turut dibantu oleh 29 orang guru dan juga 8 orang kakitangan sokongan.
Pengoperasian sekolah ini telah mendapat bantuan sepenuhnya daripada pihak Pendidikan Negeri Johor. Penyerahan Plak Pengoperasian sekolah ini telah diadakan pada 12 Januari 2004. Majlis telah disempurnakan oleh Tuan Hj. Zakaria b. Hj. Abdul Syukur, Ketua Sektor Pengurusan Perkhidmatan dan Pembangunan JPNJ. Dengan adanya majlis ini semangat seluruh warga telah meningkat untuk menjadikan sekolah ini sebagai sebuah sekolah yang terbaik di dalam daerah Kulai. Kini SMK Bandar Putra diterajui oleh Encik Zainal bin Mesran sebagai pengetua.